Tuesday, January 25, 2011

Tahajud !


Ada satu waktu yang amat ajaib dalam kehidupan seharian kita. Waktu yang menjadi pilihan Tuhan untuk bertamu kepada hambaNYA. Waktu itu, sekiranya ada manusia yang bangun, membersihkan diri dan sujud kepada Pencipta, martabatnya telah diangkat lebih tinggi berbanding manusia lain. FirmanNya dalam Surah al-Israk ayat 79 bermaksud:

“Dan dari sebahagian malam, hendaklah engkau bangun (tahajud), sebagai amalan tambahan untukmu. Semoga Tuhanmu mengangkat (darjatmu) ke tempat yang terpuji.”

Saat seorang hamba pergi kepada Penciptanya dengan penuh susah payah melawan kantuk, sebenarnya ia membuka jendela cintaNYA. Waktu tahajud adalah waktu sepertiga malam yang menyaksikan para insan di alam mimpi. Kala itu, alam suram hanya ditonai bintang dan bulan, manakala kegelapan adalah dunia beristirehat. Waktu beginilah, apabila dahi mencecah sejadah, aura tawadhuk seorang hamba kepada Penciptanya bergelombang kuat. Solat terasa khusyuk tanpa diganggu urusan dunia yang mencengkam di siang hari. Tiada bunyi kebisingan manusia atau kenderaan yang mengacau si pendamba cintaNYA. Tahajud adalah waktu khusus untuk seorang Muslim bertemu dan bercakap-cakap
dengan Allah SWT.


Paling Disayangi


Dalam sebuah keluarga misalnya, ibubapa akan menyayangi anak-anaknya secara adil. Namun percayalah, anak yang lebih ringan tulang dan sering berbakti kepada ibubapa dengan ikhlas akan lebih disayangi berbanding anak-anak yang lain. Begitu juga dalam hubungan persahabatan, teman yang mengingati setiap kebaikan kita padanya akan lebih diingati daripada teman yang hanya berkongsi kesenangan kita. Walau bagaimanapun, orang-orang begini tidak seramai orang-orang yang mementingkan diri. Jika kita memiliki mereka, pasti kita menghargai dan menyintainya sebaik mungkin.

Begitu jualah antara makhluk dengan Penciptanya. Allah SWT telah mensyariatkan ibadah wajib kepada manusia untuk dilaksanakan dalam kehidupan. Pada waktu yang sama, Dia juga memberikan peluang kepada manusia yang ingin melakukan ibadah sunat sebagai jalan mendekatkan diri kepadaNYA. Orang yang tidak meninggalkan ibadah wajib dan memperbanyakkan ibadah sunat tidak akan sama kedudukannya dengan orang lain di sisi Allah SWT. Keberkatan akan tercermin dalam kehidupan, sifat mahmudah menghiasi peribadi dan kata-katanya pasti diikuti dan didengari manusia lain. Hal ini terbukti jika kita membaca sirah para nabi, sahabat, tabi’in seterusnya orang-orang soleh di zaman ini.

Istimewa Tahajud


Salah-satu amalan yang tidak pernah ditinggalkan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian baginda adalah solat sunat Tahajud. Ketika orang lain dibuai mimpi, baginda SAW bangun mengadapNYA dengan rintihan dan tangisan. Apabila ditanya Saidatina Aisyah R.A, mengapa seorang nabi yang pasti dijamin syurga perlu menangis dan merintih lagi, maka Rasulullah SAW menjawab, baginda hanya mahu menjadi hambaNYA yang bersyukur.
Solat sunat Tahajud umpama tol menuju Allah SWT. Baginda SAW telah menyebutkan hikmah tahajud yang bermaksud:

“Setiap dua pertiga malam terakhir, Allah turun ke langit dunia sambil berseru, ‘Hambaku yang malam ini menjauhkan rusuknya dari tempat tidur kerana mendirikan solat tahajud, aku berasa malunya padanya sekiranya aku tidak mengampunkan dosanya. Mengabulkan doanya dan memberikan apa yang mereka minta. Solat sunat yang utama selepas solat fardu adalah solat tahajud.”


Oleh itu, malanglah bagi mereka yang mengetahui hikmah dan kelebihan tahajud tetapi tidak mengamalkannya secara rutin. Umpama, dia menolak hadiah dan anugerah Allah SWT yang mahu dikalungkan ke lehernya.


Terapi Mahasiswa


Musim mahasiswa disibukkan dengan kuliah dan peperiksaan. Sesetengah mahasiswa turut melibatkan diri dengan aktiviti kampus dan kemasyarakatan. Jangan menjadikan kesibukan anda sebagai alasan untuk meremehkan ibadah sunat terutama tahajud. Berdasarkan pengalaman pelajar-pelajar yang cemerlang, solat sunat tahajud adalah resepi utama mereka.


Dalam temubual personal saya dengan Nik Nur Madihah yang mendapat 20 A( SPM 2008), beliau menyatakan kekuatan utamanya untuk berjaya adalah solat sunat Tahajud. “Ketika bangun di tengah malam, hati saya berasa tenang melepaskan segala tekanan kepada Allah SWT. Tahajud dapat memberikan kita kekuatan jiwa untuk mencapai cita-cita yang disematkan,” katanya.


Saya juga teringat pesanan seorang pendakwah bebas, menurutnya, seorang Mukmin yang terlibat dengan aktiviti keagamaan perlu menjadikan ibadah sunat sebagai rutin wajibnya. Pengamalan ibadahnya tidak boleh sama seperti orang awam lain. “Saudara menyebarkan kalimah Allah, justeru diri saudara perlu dekat dengan Allah. Hanya ibadah sunat seperti Tahajud, Dhuha dan lain-lain dapat mengintimkan lagi hubungan saudara dengan Allah SWT,” pesannya.


Jika tidak kerana pentingnya solat sunat Tahajud, tidaklah Khalifah Salahuddin al-Ayubi memecat tenteranya yang tidak bangun berqiyamulail dalam operasi Perang Salib. Hanya orang-orang yang menjaga hubungannya dengan Allah SWT dapat mencapai matlamat kehidupannya, kerana Allah SWT tidak sesekali mengecewakan harapan hamba yang dicintaiNYA.


Sekiranya para mahasiswa masih meragui keberkesanan solat sunat Tahajud, ayuhlah anda mulainya sekarang. Jadikan ia latihan bagi melihat perbezaan sebelum dan selepas anda mengamalkannya. Tidak ada dalam sejarah orang yang mengamalkan Tahajud secara ikhlas, hidup mereka susah dan gelisah, sebaliknya, merekalah golongan yang menerima rahmat dan keberkatan dariNYA. Walaupun miskin harta, jiwa dan wajah mereka diselaputi sakinah (ketenangan), mahabbah (cintaNya) dan taqwa.


Semoga kita dalam redha Allah
Insya Allah..

No comments:

Post a Comment