ADAKAH AKU IKHLAS?
Kita semua maklum bahawa keikhlasan itu menjadi pra-syarat untuk apa-apa amalan kita diterima oleh Allah swt. Kerana kita inginkan amalan kitalah yang bakal menjelma sebagai makhluk yang indah bila kita di dalam alam barzakh nanti, kita berharap agar amalan kitalah yang dapat membela kita pada hari pembalasan kelak.
Sudah tentu, niat pada permulaan kita membuat sesuatu, hinggalah ke akhirnya perlulah hanya kerana Allah semata-mata. Tidak kira amalan itu menyentuh perkara peribadi mahupun dalam kehidupan berdakwah. Namun, ibarat kita hendak mengenal samada kita sudah terkena penyakit ‘chicken pox’ dsbnya, ada tanda-tanda yang dapat menolong kita memastikan adakah benar kita ini ikhlas.
Antaranya :-
1. Kita takutkan sanjungan dan pujian manusia.
2. Kita tidak berasa hati apabila usaha dikritik oleh manusia.
3. Kita tidak berasa bangga bila dipuji.
4. Kita sentiasa menganggap diri cuai dalam ibadah akibat sikap taajub akan diri sendiri.
5. Tidak malas, lembab dan ketinggalan dalam kesusahan.
6. Tidak jemu dalam berusaha mengajak orang kepada Islam.
7. Tidak menjauhkan diri dari jemaah walau dicaci manusia.
8. Di dalam organisasi/jemaah, tidak teringin menjadi ketua tetapi tetap bekerja dan menyumbang.
9. Menjadi pemimpin atau pengikut, mana satu tidak menjadi hal.
10. Tidak marah malah gembira, bila muncul seorang yang baru menjadi ketua (namun bukan bermaksud tanggungjawabnya sendiri berkurang, kerana amanah bukan dari manusia tetapi dari Allah)
Begitulah antara perkara-perkara yang perlu kita perhatikan. Ini hanyalah panduan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan amalan diri kita sendiri bersih dari sifat ria’, taajub, takabbur dan seumpamanya. Pekerjaan yang zahirnya baik, tetapi jika diselimuti oleh segala sifat yang batil tersebut, maka sia-sialah di sisi Allah swt. Hatta mereka yang berperang di saff hadapan dan mati di medan peperangan. Walau bagaimanapun, atas kelemahan manusia, tidak layak sebenarnya untuk menilai atau menghukum orang lain ikhlas ataupun tidak.
Dalam satu kata-kata ulamak, ada ulamak yang mengatakan untuk membayangkan ikhlasnya seseorang itu seperti seekor semut yang hitam yang berjalan diatas batu yang hitam pada waktu malam ( yg pekat legam ). Betapa besarnya hati manusia itu, apa bila merasakan hatinya itu ikhlas terhadap Allah ta’ala.Perlu diingatkan juga, dalam satu hadith Nabi saw telah bersabda “3 golongan yang tidak diterima Allah Ta’ala untuk masuk ke syurga, kemudian ditanya kepada nabi apakah golongan itu, maka nabi menjawab
1. Orang-orang kaya menginfaqkan ( sedekah ) sebahagian hartanya di jalan allah, tetapi tidak ikhlas.
2. Orang-orang yang berjihad di jalan Allah, mahupun perang atau sebagainya.
3. Orang-orang alim ulamak yang menyampaikan ilmu itu tetapi tidak ikhlas kerana Allah ta’ala”
Jadi sahabat dan sahabiah yang dirahamtilah Allah sekalian dapat kita renungkan betapa besar ikhlas tu perlu wujud pada hati masing. Syaitan sentiasa merasuk diri anda supaya mengkianati Allah Ta’ala. oleh itu sentiasalah menyucikan jiwa anda dari perasaan hasad dan dengki serta riak yang membinasakan diri kita di akhirat kelak.
Kita hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Allah swt yang Maha Mengetahui dan hanya Allah swt sahajalah yang berhak membalas segala amalan. Samada amalan yang baik atau sebaliknya.
Sama-samalah kita berdoa:
Wahai Tuhan kami!
Perbaikilah hati kami,
hapuskanlah cacat cela kami,
pimpinlah kami ke arah kebaikan,
hiasilah kami dengan taqwa,
kurniakanlah kepada kami
taat setia kepadaMu
sepanjang hidup kami.
Tuhan kami! Jadilah kami ikhlas kepadaMu,
syukur kepadaMu,
bertawakkal kepadaMu,
taubat kepadaMu,
khusyuk kepadaMu.
Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya kami mohon kepadaMu
ketetapan di dalam urusan ini
keazaman di dalam hidayah
tolonglah kami mengingat Engkau
menyebut namaMu
mensyukuri Engkau
baik ibadat kepadaMu.
Ameen
Peringatan Buat Hamba ALLAH
No comments:
Post a Comment